
BAGI
yang ingin menikmati makanan Jepun, perkara sering difikirkan ialah adakah sajian itu halal atau sebaliknya. Disebabkan itu, ada yang terpaksa melupakan hasrat menikmati makanan dari negara matahari terbit itu. Untuk yang masih berkeinginan merasai makanan Jepun, restoran O-Shima di Seksyen 26, Shah Alam, menyediakan sajian Jepun yang halal. Diusahakan oleh Ashraf Wahab yang pernah menuntut di Jepun serta berpengalaman bekerja di beberapa syarikat Jepun, semua bahan masakan dibeli sendiri olehnya bagi menjamin halal daripada segi bahan dan penyediaan. Jika kebanyakan kita mengenali makanan Jepun seperti sushi dan tepanyaki, di restoran ini lebih banyak menu tersedia. Sebanyak 187 menu makanan Jepun ditawarkan selain hidangan panas Thai. "Pepatah orang Jepun ´makan dengan mata´, maksudnya hidangan mestilah cantik kerana mampu membuka selera. Hirisan atau potongan bahan dibuat dengan berseni walaupun kerja itu rumit," katanya.
Jangan
mimpi mahukan makanan pedas. Masakan Jepun semuanya ´asari´ iaitu tiada rasa. Ia bukan saja tidak pedas, malah juga tidak masin dan manis dan tidak bergoreng.
Semua
hidangan lebih kepada menu sihat iaitu dikukus, panggang atau mentah selain banyak salad. Nasi putih yang melekit seperti pulut misalnya, dimakan dengan ikan rebus atau lobak jeruk untuk menambah rasa. Mengambil alih perniagaan itu daripada pengusaha bukan Islam sejak tiga bulan lalu selepas sekembalinya dari Arab Saudi, Ashraf berkata, kira-kira 70 peratus pelanggan adalah Melayu. Pelanggan O-Shima biasanya di kalangan mereka yang bekerja dalam bidang perindustrian yang ingin meraikan pelanggan mereka. Walaupun terletak di lot tepi bangunan, kedai itu dikunjungi ramai pelanggan industri kerana lokasinya yang strategik iaitu di kawasan perindustrian. Ashraf berhasrat menarik lebih ramai orang perseorangan datang menikmati sajian Jepun di situ. "Jika orang sanggup ke Umbai, Melaka, untuk makan ikan bakar atau ke Kampung Baru untuk menikmati nasi lemak, saya juga harap pelanggan dari serata kawasan datang ke restoran ini untuk menikmati menu yang mereka gemari. "Untuk itu saya perkenalkan menu terbaru yang saya dipelajari cara penyediaannya di Internet iaitu spageti mentaiko (spageti sos ikan kod). Bermula 1 hingga 31 Oktober ini, O-Shima memperkenalkan harga istimewa untuk menu baru ini iaitu RM10 sepinggan berbanding harga biasa RM18. "Ia sebenarnya spageti yang popular di Jepun. Walaupun rupanya ringkas, iaitu spageti yang dituang sos ikan kod di lapisan atas dan ditabur hirisan rumpai laut kering, rasanya boleh diterima oleh masyarakat Malaysia," katanya. Spageti berkenaan harus dicuba kerana rasanya enak dan menambat selera. Sekali mencuba, pasti tekak terasa ingin menikmati hidangan unik itu lagi. Sashimi iaitu hidangan mengandungi kaki sotong, hirisan badan sotong, udang, tuna merah dan inari (taufu manis) pula disaji mentah. Ia dicicah dengan sos kicap Jepun (sho yu). Bagi mewujudkan rasa pedas (atau lebih kepada pedar) halia Jepun atau wasabi dimasukkan ke dalam kicap berkenaan. Ia juga berperanan sebagai anti bakteria bagi mengelak keracunan makan makanan mentah. "Restoran ini juga menawarkan ´ramen´ iaitu masakan mi. Kalau di Jepun, ramen tidak boleh dimakan kerana menggunakan pati babi. Untuk restoran ini saya menggunakan pati ayam dan ikan bilis. "Gyoza iaitu kuih seperti karipap yang tidak boleh dimakan di Jepun kerana berinti babi, juga disediakan yang halal iaitu berinti ayam dan kucai," katanya. Set paling digemari Unagi Bento iaitu set belut disapu kicap manis dan taburan bijan dengan bebola ayam. Bebola ayam tanpa tulang dihasilkan oleh restoran itu. Isi ayam dibentuk bulat seperti bebola dan dibuang tulang kerana orang Jepun tidak makan ayam bertulang. Miso sup iaitu kacang soya yang diproses menjadi sup adalah menu wajib orang Jepun setiap hari. Cha wan mushi pula ialah telur putih yang dikukus manakala di bahagian dalam bekas berisi potongan kek ikan. Restoran itu mampu memuatkan 200 pelanggan dalam satu masa. Tingkat atas mempunyai lima bilik dengan gaya ruang makan Jepun iaitu beralaskan tikar Jepun dan meja rendah. Ia boleh digunakan untuk majlis dan jamuan makan malam tahunan. Ia boleh dikunjungi di laman web www.oshima-restaurant.webs.com. |
No comments:
Post a Comment