Friday, September 7, 2018

Review Buku "Revolusi Paradigma Pekerja Muslim"

Bismillahirrahmanirrahim 💕
"Semua benda perlukan duit,". "Duit hanya akan kita dapat bila kita bekerja."

Buku ini sangat baik, sesuai dan disyorkan untuk dibaca oleh kita terutamanya yang bergelar pekerja/fresh-grad. Dengan penyampaiannya yang ringkas dan jelas, buku ini membantu menyedarkan saya bagaimana sistem kapitalis telah menguasai jalan pekerjaan serta mempengaruhi perspektif kita terhadap pekerjaan. Antaranya sistem kapitalis mewujudkan malah melebarkan jurang antara pekerja bawahan dan atasan, memperbanyak harta dan mengejar kuasa atau pangkat dilihat sebelah mata sebagai punca pengaruh dan kejayaan di dunia (tanpa melihat hak-hak yang terdapat di dalam harta atau pendapatan yang diraih sehari-hari), dan lain-lain.

Selain itu, buku ini memberi panduan kepada kita bagaimana untuk menjadi "pekerja Muslim" yang real & sejati dengan mengambil kira pelbagai aspek. Antaranya, kesungguhan, sikap ihsan dalam pekerjaan, bersedekah, mengutamakan keluarga, pekerjaan merupakan ibadah (peluang meraih pahala), hinanya pengangguran dan banyak lagi.

Isi kandungan buku ini dibahagikan dan dikembangkan dengan sangat baik. Ibarat kita belajar daripada mengenal huruf kepada dapat membaca Surah al-Fatehah. Setiap tajuk dikupaskan dengan straight forward dan tidak meleret atau mengulangi point yang sama. Buku ini boleh juga dilabel sebagai "fresh & light". Buku ini juga banyak menggunakan "smart art" sebagai ringkasan atau bagi meng-highlightkan point penting yang hendak disampaikan.

Bahagian-bahagian buku ini adalah:

1. Paradigma Melayu Sebelum Islam
2. Struktur Sosial Manusia Secara Global
3. Islam Mengubah Struktur Masyarakat Klasik
4. Kapitalis Adalah Struktur Jahiliah Moden
5. Bagaimana Seharusnya Muslim Melihat Pekerjaannya (15 Aspek)
6. Sehingga Bila Harus Bekerja?
7. Memahami Konsep Ketetapan Rezeki
8. Nilai Dunia di Sisi Allah

Saya tertanya-tanya juga jika ada modul lain yang dihasilkan oleh penulis-penulis buku ini.
Untuk buku ini saya bagi 5/5 bintang dan insyaAllah mungkin akan dirujuk pada masa-masa tertentu terutamanya apabila semangat terhadap pekerjaan mula surut/pudar.

Catatan:
Mula baca - Sekitar Bulan Oktober 2017
Habis Dibaca - 5 September 2018
Dibeli di MPH pada harga RM22.00

Saturday, September 1, 2018

Review Buku Cerita Cinta Ahmad Ammar

31 Ogos 2018, Jumaat

Review Buku “Cerita Cinta Ahmad Ammar”(2014)

Sebelum ini, buku ini pernah kulihat semasa belajar di UiTM Lendu, dimiliki oleh seorang sahabat yang merupakan rakan bilikku dan juga merupakan seorang daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) saat itu. Kini beliau merupakan salah seorang sukarelawan terpilih Muslim Volunteer Malaysia (MVM) dan telah menjadi idola bagi insan-insan yang mengenalinya termasukku. Dan Alhamdulillah, buku ini juga telah dibeli oleh adikku dan telah tersimpan lama di rumahku.

Sebulan lepas (awal bulan Ogos), Allah telah detikkan di hatiku untuk menelusuri kisah Ahmad Ammar ini dan memulakan bacaan tentang cerita cintanya, Si Bintang Syurga ini dan telah berjaya dihabiskan bacaan pada hari ini jua (31 Ogos 2018). Walaupun sudah mencecah 5 tahun pemergiannya, kisahnya masih hidup dan tetap menjadi inspirasi bagi yang mengenali dan mangambil tahu tentangnya.

MasyaAllah. Kisah Ahmad Ammar melalui penceritaan dalam buku ini teramatlah indah sehinggakan setiap bab yang ditulis dalam buku ini adalah memori oleh insan-insan di sekelilingnya ketika beliau hidup yang sangat menyayangi dan merindui beliau. Bagaimana untuk kita nafikan bahawa Allah telah muliakan dia kerana pengakhiran hidup beliau telah menjadi fenomena oleh orang yang tak pernah mengenalinya serta dikuburkan di sebelah makam sahabat Rasulullah s.a.w., Abu Ayub al-Ansari pada umur 20 tahun.

Saya telah melihat beberapa aspek yang telah tertonjol sepanjang membaca buku ini:

1. Didikan Ibu Ayah
-Sepanjang membaca buku ini, hampir semua sahabat telah menyelitkan bagaimana peribadi Ammar terbentuk hasil daripada didikan kedua ibu bapanya. Malah, Ammar banyak mencontohi apa yang telah ditunjuk oleh bapanya. Di sini, kita dapat melihat bagaimana sifat ibu bapa sangat memberi pengaruh kepada pembesaran seorang anak agar menjadi seorang yang berakhlak dan berwawasan tinggi. Kesabaran dan ketabahan yang dipamerkan oleh Encik Haji Ahmad Azam (Abah Ammar) dan Puan Nur Azlina (Emak Ammar) bagi menghadapi pemergian anak lelaki tunggal mereka yang telah mereka hantar jauh ke Turki untuk mempelajari Sejarah Uthmaniyah, jelas menggambarkan corak tarbiyah keluarganya. Jadi, buku ini juga disarankan kepada ibu bapa yang tercari-cari cara dan contoh untuk diteladani bagi mendidik anak sejak kecil.

2. Persahabatan
-Hanya sahabat-sahabat Ammar yang dapat merasai yang sebenar-benarnya akhlak yang telah ditunjukkan oleh sahabat mereka yang istimewa ini. Beliau seorang yang unik di mata mereka. Kita yang membaca hanya dapat menggambarkan dan meladani setiap babak yang diceritakan. Kata seorang sahabat Ammar di dalam bab terakhir, “Akhlakmu Ammar, menyedarkanku betapa misi Rasulullah s.a.w. untuk menyempurnakan akhlak seluruh makhluk di muka bumi ini merupakan rahmat bagi sekalian alam. Pengajaran besar yang aku pelajari daripada Ammar adalah mati merupakan suatu peringatan yang cukup besar buat kita. Justeru, ambillah kesempatan sebanyak mungkin amalan di dunia ini bagi melunaskan tanggungjawab kita sebagai hamba-Nya.”

3. Pencinta ilmu/ pelajar
-Ahmad Ammar bukanlah sekadar seorang peminat sejarah. Tetapi, beliau merupakan pelajar cemerlang sejak di sekolah rendah, malah menjadi pelajar kedua terbaik SPM bagi batchnya semasa menuntut di Maktab Tentera Diraja (MTD). Beliau telah mahir bertutur dan menulis bahasa Turki Uthmaniyyah (yang ditinggalkan zaman) dalam tempoh yang singkat berbanding sahabat-sahabatnya yang lain atas kesungguhan beliau sendiri mempelajarinya siang dan malam tanpa jemu. Selain cemerlang akademik di Malaysia, beliau mampu menjadi pelajar terbaik semasa belajar di Turki mengalahkan pelajar Turki sendiri. Tidak cukup dengan itu, beliau telah mengkhatamkan kitab-kitab Risalah An-Nur hasil tulisan Imam Badiuzzaman Said Nursi yang merupakan pemimpin yang ingin mengembalikan semula Islam di Turki saat pentadbiran Turki dilanda ancaman Sekularisma. Beliau seorang yang seimbang duniawi dan ukhrawi.

4. Sukarelawan (Mewakafkan diri demi ummah)
- Selain misi kemanusiaan yang telah disertai Ammar serta sahabat-sahabat GPTD dan seangkatan dengannya yang lain, kumpulan mereka juga telah menanam di dalam diri masing-masing untuk mewakafkan diri demi umat. Mereka menimba ilmu demi memberi manfaat kepada orang lain. Pengakhiran hidup Ammar adalah apabila beliau telah dilanggar oleh ambulans di Turki saat beliau telah bersedia dan dalam perjalanan untuk mengajar bab pertama Risalah An-Nur (Iaitu bab Ikhlas) kepada pelajar-pelajarnya di Turki.
Begitulah sedikit sebanyak yang dapat kukhabarkan mengenai buku ini yang akan membuka mata hati setiap pembacanya dari awal sehingga habis. “Semoga Allah menjadikan detik terakhir kehidupan kita adalah umur yang paling baik kita”. Wallahu’alam.

Selain lagu "Bintang Syurga", lagu "Kita Da'ie" bermain di fikiran :)

Khutbah Solat Jenazah Ahmad Ammar, 2014

Isi Khutbah yang disampaikan selepas Solat Jenazah Ahmad Ammar oleh Omer Dongeloglu (penceramah terkenal Turki), 2014:

“Bulan Muharam ini adalah bulan yang melepaskan Nabi Yusuf a.s. daripada penjara. Bulan ini Nabi Ayyub a.s. disembuhkan daripada segala penyakit. Bulan ini Allah telah menjadikan laut sebagai laluan kepada Nabi Musa a.s.. Bulan ini adalah bulan Muharram yang suci. Hari ini adalah hari pertama bulan Muharram. Maknanya ini adalah rezeki yang diberikan Ammar untuk berada di sisi Allah dan RasulNya pada awal Muharram 1435.

Wahai saudaraku, kalau ada apa-apa kesalahan dan kekurangan saudara Ammar ini, semoga Allah ampunkan segalanya. Semoga Allah berikan kesabaran kepada ahli keluarga dan kerabatnya yang ditinggalkan di belakang.

Ya Allah, Kau berikanlah Ammar, ahli keluarga, kaum kerabat dan kita semua bangkit dalam darjat yang paling tinggi di syurga. Alangkah bahagianya saudara kita Ammar kerana bangkit bersama sahabat Nabi, Abu Ayub Al-Ansari yang akan berpegangan tangan dengan beliau. Kamu keluar dari Malaysia dan datang ke Istanbul lalu bangkit bersama sahabat Nabi yang datang dari Madinah ke Istanbul kerana Allah taala. Adakah kamu mencari karamah yang lebih besar daripada ini? Adakah kamu mencari kurniaan Allah yang lebih besar daripada ini?

Wahai saudara Muslim sekalian.. Kalau kamu berjalan dengan betul, Allah akan jadikan jalan kamu itu bersama-sama jalan para sahabat Nabi. Adakah kamu akan katakan bahawa ini hanyalah kebetulan perjalanan Ammar daripada Abu Ayub? Saudara Ammar kini berpindah di hadapan Abu Ayub Al-Ansari atau nama sebenarnya Khalid bin Zaid yang rumahnya pernah didiami baginda Nabi s.a.w.. Apakah kamu akan berkata ini hanyalah kebetulan kerana dia berpindah pada awal Muharram ini?

Ada yang merancangkan ini.. Ada yang menulis suratan ini. Ada kudrat Yang Maha Kuasa yang menjadikan pena itu menulis. Kitab beriman kepada takdir ini dan kami membenarkannya Ya Allah. Ini bukanlah kebetulan tetapi bertepatan dengan takdirnya. Ya Allah, jadikanlah perjalanan Ammar ini perjalanan yang diberkati. Semoga Allah jadikan Ammar ini sebagai jiran kepada Abu Ayub Al-Ansari. Semoga Allah menjadikan detik terakhir kehidupan kita adalah umur yang paling baik kita.”

-Dipetik daripada sarikata yang disediakan oleh Grup Penjejak Tamadun Dunia (GPTD) dalam video “GPTD: Ahmad Ammar Dalam Kenangan (1993-2013)”