31 Ogos 2018, Jumaat
Review Buku “Cerita Cinta Ahmad Ammar”(2014)
Sebelum ini, buku ini pernah kulihat semasa belajar di UiTM Lendu, dimiliki oleh seorang sahabat yang merupakan rakan bilikku dan juga merupakan seorang daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) saat itu. Kini beliau merupakan salah seorang sukarelawan terpilih Muslim Volunteer Malaysia (MVM) dan telah menjadi idola bagi insan-insan yang mengenalinya termasukku. Dan Alhamdulillah, buku ini juga telah dibeli oleh adikku dan telah tersimpan lama di rumahku.
Sebulan lepas (awal bulan Ogos), Allah telah detikkan di hatiku untuk menelusuri kisah Ahmad Ammar ini dan memulakan bacaan tentang cerita cintanya, Si Bintang Syurga ini dan telah berjaya dihabiskan bacaan pada hari ini jua (31 Ogos 2018). Walaupun sudah mencecah 5 tahun pemergiannya, kisahnya masih hidup dan tetap menjadi inspirasi bagi yang mengenali dan mangambil tahu tentangnya.
MasyaAllah. Kisah Ahmad Ammar melalui penceritaan dalam buku ini teramatlah indah sehinggakan setiap bab yang ditulis dalam buku ini adalah memori oleh insan-insan di sekelilingnya ketika beliau hidup yang sangat menyayangi dan merindui beliau. Bagaimana untuk kita nafikan bahawa Allah telah muliakan dia kerana pengakhiran hidup beliau telah menjadi fenomena oleh orang yang tak pernah mengenalinya serta dikuburkan di sebelah makam sahabat Rasulullah s.a.w., Abu Ayub al-Ansari pada umur 20 tahun.
Saya telah melihat beberapa aspek yang telah tertonjol sepanjang membaca buku ini:
1. Didikan Ibu Ayah
-Sepanjang membaca buku ini, hampir semua sahabat telah menyelitkan bagaimana peribadi Ammar terbentuk hasil daripada didikan kedua ibu bapanya. Malah, Ammar banyak mencontohi apa yang telah ditunjuk oleh bapanya. Di sini, kita dapat melihat bagaimana sifat ibu bapa sangat memberi pengaruh kepada pembesaran seorang anak agar menjadi seorang yang berakhlak dan berwawasan tinggi. Kesabaran dan ketabahan yang dipamerkan oleh Encik Haji Ahmad Azam (Abah Ammar) dan Puan Nur Azlina (Emak Ammar) bagi menghadapi pemergian anak lelaki tunggal mereka yang telah mereka hantar jauh ke Turki untuk mempelajari Sejarah Uthmaniyah, jelas menggambarkan corak tarbiyah keluarganya. Jadi, buku ini juga disarankan kepada ibu bapa yang tercari-cari cara dan contoh untuk diteladani bagi mendidik anak sejak kecil.
2. Persahabatan
-Hanya sahabat-sahabat Ammar yang dapat merasai yang sebenar-benarnya akhlak yang telah ditunjukkan oleh sahabat mereka yang istimewa ini. Beliau seorang yang unik di mata mereka. Kita yang membaca hanya dapat menggambarkan dan meladani setiap babak yang diceritakan. Kata seorang sahabat Ammar di dalam bab terakhir, “Akhlakmu Ammar, menyedarkanku betapa misi Rasulullah s.a.w. untuk menyempurnakan akhlak seluruh makhluk di muka bumi ini merupakan rahmat bagi sekalian alam. Pengajaran besar yang aku pelajari daripada Ammar adalah mati merupakan suatu peringatan yang cukup besar buat kita. Justeru, ambillah kesempatan sebanyak mungkin amalan di dunia ini bagi melunaskan tanggungjawab kita sebagai hamba-Nya.”
3. Pencinta ilmu/ pelajar
-Ahmad Ammar bukanlah sekadar seorang peminat sejarah. Tetapi, beliau merupakan pelajar cemerlang sejak di sekolah rendah, malah menjadi pelajar kedua terbaik SPM bagi batchnya semasa menuntut di Maktab Tentera Diraja (MTD). Beliau telah mahir bertutur dan menulis bahasa Turki Uthmaniyyah (yang ditinggalkan zaman) dalam tempoh yang singkat berbanding sahabat-sahabatnya yang lain atas kesungguhan beliau sendiri mempelajarinya siang dan malam tanpa jemu. Selain cemerlang akademik di Malaysia, beliau mampu menjadi pelajar terbaik semasa belajar di Turki mengalahkan pelajar Turki sendiri. Tidak cukup dengan itu, beliau telah mengkhatamkan kitab-kitab Risalah An-Nur hasil tulisan Imam Badiuzzaman Said Nursi yang merupakan pemimpin yang ingin mengembalikan semula Islam di Turki saat pentadbiran Turki dilanda ancaman Sekularisma. Beliau seorang yang seimbang duniawi dan ukhrawi.
4. Sukarelawan (Mewakafkan diri demi ummah)
- Selain misi kemanusiaan yang telah disertai Ammar serta sahabat-sahabat GPTD dan seangkatan dengannya yang lain, kumpulan mereka juga telah menanam di dalam diri masing-masing untuk mewakafkan diri demi umat. Mereka menimba ilmu demi memberi manfaat kepada orang lain. Pengakhiran hidup Ammar adalah apabila beliau telah dilanggar oleh ambulans di Turki saat beliau telah bersedia dan dalam perjalanan untuk mengajar bab pertama Risalah An-Nur (Iaitu bab Ikhlas) kepada pelajar-pelajarnya di Turki.
Begitulah sedikit sebanyak yang dapat kukhabarkan mengenai buku ini yang akan membuka mata hati setiap pembacanya dari awal sehingga habis. “Semoga Allah menjadikan detik terakhir kehidupan kita adalah umur yang paling baik kita”. Wallahu’alam.
Selain lagu "Bintang Syurga", lagu "Kita Da'ie" bermain di fikiran :)
No comments:
Post a Comment