Oleh NURSYAMIMI SAIDI
21 April 2015 4:00 PM
Setiap tahun, pengangguran dalam kalangan siswazah menjadi antara isu yang diperbincangkan sama ada di pihak berkuasa mahupun pihak-pihak yang berkepentingan.
Ini kerana, jumlah golongan berkelulusan tinggi tetapi tidak mempunyai kerja, bukan semakin surut sebaliknya meningkat saban tahun.
Malah, wujud situasi baharu apabila terdapat pemikiran lebih baik menganggur selagi tidak jumpa kerja yang bersesuaian, menyebabkan statistik pengangguran di dalam negara membimbangkan.
Bagi mereka, lebih baik tinggal sahaja di rumah tanpa melakukan apa-apa pekerjaan daripada bekerja bukan dalam bidang mereka dan menerima gaji yang tidak seberapa.
Ini diakui sendiri oleh Presiden Persatuan Wanita Bumiputera Dalam Perniagaan dan Profesyen Malaysia (Peniagawati), Datuk Azlin Ahmad Shaharbi yang mengatakan siswazah terlalu memilih pekerjaan kerana merasakan pekerjaan yang ditawarkan tidak setaraf dengan lulusan yang dimiliki.
“Masih ramai graduan yang menganggur walaupun sudah beberapa tahun menamatkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT). Isunya, bukan tiada peluang pekerjaan tetapi kebanyakan mereka terlalu memilih, mungkin kerana tugas yang ditawarkan tidak bersesuaian dengan mereka sebagai bekas penuntut universiti.
“Saya tidak merasakan majikan di negara kita tidak memerlukan pekerja, malah peluang pekerjaan yang ditawarkan terlalu banyak tetapi mereka tidak tahu mengambil peluang itu.
“Sikap siswazah itu sendiri yang terlalu memilih pekerjaan bukan sahaja merugikan diri sendiri, bahkan merugikan sektor yang memerlukan tenaga kerja,” katanya.
Menurut Azlin, pada zaman kebolehpasaran graduan dilihat sebagai kriteria utama diambil bekerja, kelulusan yang dimiliki sama ada diploma, ijazah, atau sarjana, hanya menjadi ukuran kepada ketinggian peringkat pendidikan serta kematangan seseorang.
Tidak semestinya apa yang dimiliki bakal digunakan oleh majikan.
Pencapaian dalam bidang akademik tidak boleh menjamin seseorang pelajar itu memperoleh pekerjaan kerana terlalu banyak aspek yang dinilai oleh pihak majikan seperti kemahiran komunikasi, keyakinan diri, kebolehan berfikir secara kreatif dan kritis, disiplin, dan pendedahan kepada latihan.
“Kesemua faktor-faktor ini berhubungkait antara satu sama lain dan amat mengejutkan kebanyakan siswazah yang diberi tawaran bekerja mempunyai pelbagai alasan untuk menolak apa yang diberi.
“Sebagai contoh, ada siswazah yang diberi tawaran oleh firma saya tetapi tidak dapat menerimanya kerana faktor tiada kenderaan untuk bergerak, tidak boleh berjauhan dengan keluarga di kampung, dan gaji yang ditawarkan sedikit,” katanya yang turut mempunyai firma guaman.
Beliau juga tidak menolak untuk mengatakan siswazah sekarang ‘terlalu manja’, langsung tidak mahu berasa susah dan tidak mahu bermula dari bawah melalui peluang yang datang kepada mereka.
Tegas Azlin, sikap ini sepatutnya perlu dibuang dari minda setiap graduan.
Katanya lagi, pengangguran akan terus berlaku sekiranya mereka tidak berusaha mencari alternatif lain dalam membina kerjaya.
Antara alternatif tersebut adalah menceburkan diri dalam kegiatan ekonomi, seperti bidang keusahawanan yang secara tidak langsung juga membantu menggerakkan ekonomi negara.
“Ruang bagi golongan mahasiswa menceburi pelbagai bidang keusahawanan begitu luas. Jika mereka mempunyai inisiatif dan kegigihan, saya percaya mereka boleh mencapai kejayaan yang diingini walaupun tanpa sebarang pengalaman dalam bidang perniagaan,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, kerajaan juga menyediakan pelbagai platform untuk membantu usahawan membangunkan perniagaan mereka malah sangat menggalakkan penglibatan siswazah dalam bidang tersebut terutamanya wanita.
Dalam pada itu kata Azlin, ada dalam kalangan siswazah wanita tidak mahu bekerja selepas berkahwin kerana perlu memenuhi tuntutan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu.
Keadaan ini juga amat membimbangkan kerana populasi graduan universiti dalam kalangan wanita lebih tinggi berbanding lelaki dan pencapaian akademik mereka juga menunjukkan wanita berada di tahap paling atas.
“Jika wanita tidak bekerja, siapa yang akan membantu menjana ekonomi negara sedangkan kemahiran mereka amat diperlukan.
“Disebabkan itulah, keusahawanan menjadi alternatif terbaharu untuk wanita yang berkahwin kerana masa yang lebih fleksibel boleh disusun sendiri dan dalam masa yang sama mampu menjana pendapatan yang lebih besar kerana bergantung kepada usaha masing-masing,” katanya.
Graduan harus bijak mengatur langkah mereka sebaik sahaja tamat pengajian di universiti. Jangan terlalu memilih kerana segalanya bermula dari bawah untuk berjaya.
Bak kata pepatah, di mana ada kemahuan di situ ada jalan.