Bismillahirrahmanirrahim.
Allahumma solli ‘ala Muhammad wa
‘ala ali Muhammad.
Hari ni saya ada
terima seorang patient*, seorang ibu yang ingin mendaftarkan anaknya
untuk tujuan appointment (buku biru atau merah). Bila diminta dokumen
pengenalan, barulah diketahui bahawa anak yang didaftarkan itu sebenarnya anak
angkat. Dokumen yang dilampirkan termasuklah dokumen pengesahan dari Jabatan
Pendaftaran Negara (JPN) bahawa anak itu telah lulus dan sah diambil sebagai
anak angkat untuk si ibu angkat tadi.
Sambil saya
mendaftarkan butiran anaknya, saya mengambil kesempatan untuk bertanya secara
berbisik*, “Puan, lama tak proses nak ambil anak ni? Berapa lama puan? Dari
tahun bila?” Si ibu pun menjawab, “ya Allah, lama dik,” dengan nada meluahkan
perasaan. “Makcik ambil dia dah lama, dari tahun 2017 lagi, dik. Sampailah
harini Alhamdulillah dapat jugak dia dik,”
Saya: Dari mana puan
jumpa, ambil dia untuk dijadikan anak angkat?
Makcik: Makcik ambil
dia dari HKL lagi.
Kemudian, makcik itu
mula membuka ceritanya, “Sebenarnya cerita dia macam ni dik. Makcik ni
sebenarnya dulu jual nasi lemak. Jadi, ada seorang perempuan ni selalu datang
beli nasi lemak dekat kedai makcik. Satu hari tu, dia mengandung. Tapi, dia
sebut yang dia nak kahwin.”
Saya: Oh.. Dia mengandung sebelum kahwin la ni?,,
Makcik: Ya, dik…
**Maaf makcik, saya
tak dapat dengar cerita makcik yang panjang-panjang sebab tengah menjalankan
tugas. Jadi, penceritaan makcik tu terputus, sebab saya perlu merujuk kepada
Jururawat Masyarakat (JM) berkaitan kesnya, dan setelah selesai saya perlu
memanggil patient seterusnya pula. Setelah selesai daftar, saya pun
menghadap makcik itu semula dan senyum bersedia nak beritahu yang anaknya sudah
selesai didaftarkan. Terkejut saya sebab baru saya perasan yang mata makcik itu
sudah merah, bergenang dan ada kesan air mata yang dikesat.
Makcik: Menangis
makcik dik… Makcik teringatkan nak dapatkan dia ni, susah…
Saya: (senyum empati)
Takpe makcik…besar pahala makcik ni.
Makcik: Ya betullah
dik..
Kemudian, saya
terpaksa memberitahu makcik itu bahawa anaknya telah selesai didaftarkan, dan
menyuruhnya ke kaunter atas untuk meneruskan appointment tersebut.
Makcik itu mengucapkan terima kasih, dan syukurnya. Lalu, perlahan-lahan saya
perhatikan makcik tu bangun dan angkut beberapa beg yang dibawa bersama.
Kasihan makcik tu, tabahnya dia.
IBRAH KISAH
Daripada kisah makcik
ni, saya sedar yang proses ambil anak angkat ni memang tidak mudah dan memakan
masa. Lebih-lebih lagi, bila mana anak itu asalnya berstatus “bukan
warganegara” manakala ibu angkat itu adalah warganegara. Untuk pihak kami, ia
melibatkan soal jawab berkaitan bayaran kerana warga asing mempunyai cas
tertentu untuk mendapatkan perkhidmatan di klinik kami. Tidak terkecuali juga
untuk meneliti setiap butiran yang ada pada dokumen pengenalan diri mereka
seperti tarikh luput visa atau passport.
Saya sempat tanya
makcik tu sama ada dia ada anak sendiri atau tidak. Jawapannya, dia ada anak
sendiri. Subhanallah, mulia makcik ni. Sanggup dia susahkan diri untuk menyara
seorang anak yang bukan darah dagingnya, sedangkan kehidupannya tidaklah mewah,
dan dia sendiri ada anak yang telah ditumpahkan kasih sayang sebagai ibu
kandung. Inilah fikiran kita orang biasa, payah. Tapi, yang direbut orang
seperti makcik ini adalah ganjaran pahala di sebalik amalan kebajikan yang
diusahakannya melalui sifat ihsan dia terhadap seorang perempuan (yang tak
dikenali) yang memerlukan bantuannya.
Ya. Dalam ucapan
makcik ni sebenarnya dia banyak kali ucap kalimah “Allah” cuma saya tak ingat part
mana dan sebutan yang betul apa. Yang penting, dapat dilihat bahawa makcik ni
betul-betul letak kebergantungan urusannya dekat Allah, dan Alhamdulillah hari
ini dia berjaya daftarkan anaknya dengan bayaran seringgit, bermakna anaknya
itu sudah bertaraf warganegara atas nama anak angkat kepada ibu bapa yang
warganegara. Sebelum ini, bayangkan berapa kali dia datang daftarkan anaknya
kena cas minimum RM40 (pendaftaran) bagi warga asing. Tapi, dia tetap gigih uruskan
dan tak berputus asa. Saya tak nampak makcik itu seperti mengeluh atau
merungut, cuma makcik tu mungkin meluahkan rasa lega dan syukurnya sebab satu
beban yang dia tanggung selama dalam 2 tahun dah pun berakhir. Alhamdulillah,
segala puji bagi Allah.
Glosari (*):
1. patient - sesiapa
yang terlibat dalam pendaftaran saya panggil patient. Tak kiralah kalau yang
sakit tu si anak, jadi si ibu yang mendaftarkan itu juga saya atau kami panggil
sebagai patient.
2. berbisik – nada
perlahan
Sekian sahaja. Wallahu’alam.
Dicoret oleh,
SMardianaMS
Seorang kerani biasa
15 Oktober 2019
No comments:
Post a Comment