Wednesday, October 2, 2019

Pusat Pembelajaran Komuniti – Chow Kit

Bismillahirrahmanirrahim.
Allahumma solli ‘ala Muhammad wa’ala ali Muhammad.

Minggu lepas, saya dan seorang kawan bernama Fatimah telah berkunjung ke Pusat Pembelajaran Komuniti Chow Kit selama dua malam berturut-turut. Matlamat kami untuk mengajar ngaji dan mempelajari proses pembuatan satu jenis kraftangan.

Untuk saya, inilah kali pertama saya bersama-sama dengan “orang gelandangan”. Untuk makluman, target masyarakat bagi pusat komuniti ini adalah orang gelandangan khususnya bagi kawasan Chow Kit. Kalian boleh dapatkan maklumat lanjut berkaitan pusat komuniti ini dengan membuat carian di Google kerana ada beberapa media akhbar yang telah menulis mengenainya.

Dalam pada ini kali pertama saya menjejakkan kaki ke pusat ini, ini adalah kali ke tiga untuk Fatimah. Fatimah ibarat menjadi Pegawai Penerangan untuk saya sepanjang perjalanan pulang ke rumah. Banyak cerita yang dikongsi mengenai orang-orang gelandangan yang pada asalnya dikongsi oleh salah seorang daripada orang gelandangan di situ, iaitu lebih mesra dipanggil Shasha (bukan panggilan sebenar).

Pendidikan & Kerjaya Orang Gelandangan

Sudah tentu, kehidupan orang gelandangan bukanlah senang berbanding kita. Terutamanya dalam menghadapi penerimaan masyarakat luar mereka. Masyarakat luar di sini termasuklah majikan dan sekolah kerajaan. Seperti yang kita ketahui, orang gelandangan termasuklah orang yang mempunyai pendidikan tinggi seperti ijazah dan PHD tetapi menjadi sedemikian kerana pernah gagal dalam sesuatu yang dilakukannya, orang yg pernah mempunyai syarikat tetapi jatuh muflis dan hal yg demikian membuatkan seluruh harta henda mereka dirampas, penagih dadah, miskin bandar, dan lain-lain jika ada. Status kehidupan semasa mereka menjadi punca mereka terus berada dalam kelompok gelandangan kerana bagi mereka tiada pilihan lain.

Untuk sektor pekerjaan, majikan mungkin memeriksa nama mereka jika berada dalam senarai hitam negara, dan kemungkinan untuk majikan mengambil pekerja di bawah pengaruh dadah adalah tipis disebabkan bimbang jika pekerja berkenaan lari atau tidak dapat melaksanakan tugas dengan komited. Walaubagaimanapun, ada yang mengatakan, orang yang di bawah pengaruh dadah tertentu, apabila dia mengambil dadah berkenaan, mereka akan lebih fokus dan bersungguh-sungguh melebihi keupayaan orang biasa.

Kita dapat lihat, sebenarnya orang gelandangan juga tetap mempunyai keinginan yang sama seperti orang biasa. Mereka mahu ada pekerjaan tertentu dan layak untuk belajar di sekolah-sekolah. Memandangkan persekitaran yang tidak dapat menerima mereka, mereka tiada pilihan melainkan terus dalam kelompok itu.

Pada pendapat saya, dengan wujudnya Pusat Pembelajaran Komuniti seperti ini, ia mampu membuka peluang kepada orang gelandangan untuk mengubah diri dan masa depan mereka. Mengikut akhbar tertentu, pembukaan pusat ini mendapat sambutan yang baik daripada beberapa NGO untuk membantu mereka. Antara program yang diusahakan di pusat ini adalah kelas mengaji (Iqra’dan Al-Quran), dan kelas-kelas kemahiran terutamanya untuk ibu-ibu gelandangan. Anak-anak dapat menerima ilmu dengan percuma begitu juga para ibu dapat menerima ilmu kemahiran tanpa mebayar apa-apa, dan mereka boleh gunakan kemahiran itu untuk menjana pendapatan sendiri tanpa bergantung kepada kerja yang diberi oleh majikan di luar sana.

Kita juga dapat lihat bahawa usaha untuk “mengubah nasib” mereka wajar disertai oleh masyarakat dan pihak berkuasa. Masyarakat boleh membantu mereka dengan memberi sumbangan tenaga dan ilmu. Kelas mengaji yang dijalankan bergantung kepada availability guru dan sukarelawan (yang tidak tetap). Jadi, jika semakin ramai sukarelawan yang hadir, insyaAllah, itu lebih baik.

Makanan untuk Orang Gelandangan

Pada malam kedua kunjungan ke pusat komuniti ini, Fatimah telah menawarkan kepada Shasha untuk ditumpang ke rumahnya bersama tiga orang anaknya (yang paling besar berumur 7 tahun). Shasha memaklumkan bahawa mereka akan “ambil nasi” di suatu tempat berdekatan. Oleh itu, serta merta kami juga ingin mengikutinya ke sana. Dan, itulah kali pertama juga saya dapat melihat dengan dekat bagaimana penyumbang makanan datang mengangihkan makanan yang dibawa. Saya sempat lihat menu salah satu sumbangan itu adalah nasi lemak yang dibungkus dalam bekas polisterin (saiz burger). Shasha kata, “macam nilah kitorang,” Shasha bercerita bahawa setiap malam pasti ada orang yang menghantar makanan, cuma mungkin berbeza waktu ikut hari. Dan, ada masa tu, “kadang-kadang sampai jadi pembaziran dekat sini,”disebabkan terlalu ramai yang menyumbang pada satu-satu masa. Di sana, dapat dilihat mereka menjamu makanan yang diambil di atas hamparan tikar terutamanya yang berkeluarga, dan ada juga yang duduk di kaki lima bangunan.

Kebetulan, malam itu, ada sepersatuan pelajar UIAM yang sedang membuat program dengan orang gelandangan juga. Kami sempat menemubual dengan salah seorang daripada mereka untuk mengetahui tentang program yang mereka sedang jalankan. Kalau tidak silap itu kali ketiga program yang mereka jalankan melibatkan orang gelandangan di lokasi yang berbeza-beza. Ada juga antara program persatuan yang mereka pernah jalankan selain bersama orang gelandangan adalah program “street dakwah” di tempat yang mesra pelancong asing.

Sepanjang melihat pengagihan makanan di situ, saya memikirkan bagaimanalah hakikat dan realiti mereka untuk menerima kehidupan mereka seadanya, sedangkan kita hidup tidak sesusah mereka. Bagaimana mereka tabah membesarkan anak-anak dalam ruang persekitaran seperti itu tetapi mereka tidak berputus asa.

Meneladani Dakwah Rasulullah s.a.w.

Dengan melihat dengan mata kepala sendiri kehidupan mereka (walaupun sekejap), saya teringatkan bagaimana dakwah Rasulullah s.a.w. pada permulaan Islam disebarkan. Rasulullah s.a.w. berperanan mengeluarkan kejahilan kaum musyrikin Mekah kepada beriman dengan Allah. Pada waktu itu, Rasulullah s.a.w. menyebarkan dakwah dengan hikmah dengan melalui satu per satu sifat dan karakter kaum Musyrikin Mekah yang jahil. Kejahilan mereka meliputi minum arak, sembah berhala, bergaul dengan wanita dan sebagainya.

Jika hendak dibandingkan dengan topik ini, memanglah tidak serupa dengan zaman Rasulullah s.a.w tetapi ada persamaan. Iaitu, orang-orang ini memerlukan para guru dan pendakwah (semua Muslim bertanggungjawab melakukan dakwah) untuk mereka mempelajari Islam dengan mendalam. Mungkin anak-anak mereka masih boleh untuk dihantar ke sekolah yang termampu, tetapi, untuk ibu bapa itu sendiri mereka perlukan dorongan, motivasi dan ilmu dalam menelusuri kehidupan sebagai ibu bapa dan manusia dengan sebaiknya. Jadi, menjadi peranan kita dan para asatizah untuk datang kepada mereka bagi menyampaikan Islam dan Iman.

Adapt dan Approach

Apabila mendekati orang gelandangan, apa yang saya dapati, mereka mempunyai perwatakan yang agak kasar contohnya mereka bercakap dengan nada tinggi dan menekan. Semasa pertama kali mendengar cara mereka berkomunikasi, saya agak terkejut. Saya terlupa untuk bersedia mengenai itu. Malam kedua, saya boleh bersedia, cuma masih dalam proses adapting. Pada malam kedua, kami sampai ke pusat ini semasa maghrib, jadi, kami perlu menunaikan solat fardhu terdahulu sebelum meneruskan misi mempelajari kraftangan. Saya perlu belajar untuk solat dalam keadaan yang bising kerana pusat itu dimeriahkan dengan suara kanak-kanak bermain, menjerit, dan dalam masa yang sama kedengaran suara orang dewasa sedang belajar mengaji.

Ya. Untuk makluman, di pusat ini, terdapat ruang solat yang besar cuma ia adalah terbuka dan hanya diselindung dengan papan pemisah, manakala pada satu sisi, hanyalah dinding kaca menghadap luar iaitu koridor. Telekung ada disediakan, tetapi kebanyakannya bersaiz untuk kanak-kanak. Dan, ya. Tiada ruang pemisah antara lelaki dan perempuan, means universal. Bagi wanita yang terbiasa untuk membuka sebahagian pakaian atau tudung untuk memastikan kebersihan semasa mendirikan solat, kita perlu belajar membiasakan diri dengannya. Namun begitu, aurat tetap masih perlu dijaga.

Semasa mengajar ngaji pula, mereka bergilir (mengikut availability sukarelawan yang ada). Ada yang bersedia untuk mengaji, ada juga yang dipaksa untuk belajar ngaji oleh ibu atau bapa mereka, dan ada juga yang kita dah tahu dah next turn adalah dia, tapi bila sampai masa mereka, tiba-tiba hilang entah ke mana, yang ditinggalkan hanya fail assessment yang berisi kitab iqra’ dan helaian pencapaian harian. Puaslah kita yang belum berapa kenal nama dan muka adik-adik ni nak mencari tapi mereka lari mengelak, sehinggalah dengar ibu mereka menjerit memanggil mereka untuk ngaji. Kadang tu ada juga rasa lucu sebab nak menghadapi karenah kanak-kanak yang suka bermain. Dalam hati dah rasa, “Macamana nak panggil dyorang ni? Nak kena panggil kuat-kuat (nak mengatasi keriuhan semasa) ke, nak kena kejar dyorang ke, atau tunggu sahaja sambil sengih?”

Alhamdulillah, mujur ada seorang ustazah hulur duit kertas RM1 untuk setiap seorang dengan syarat hanya diberi apabila mereka selesai baca. Sampailah dekat seorang adik ni. Dia baca agak lancar, dan sudah ke Iqra’ 4, dan dia mampu mencelah mengajar kawannya yang kurang reti sebut huruf tertentu. Bila turn dia habis satu muka surat, dia kata, “Dah, taknak baca lagi,” Saya pun tanya, “Betul ni, taknak baca lagi, dah cukup?” Dia mengangguk. Tapi, bila dia tahu ada balance lagi sehelai RM1 sebab tiada turn sesiapa selepas itu, dia kata dia nak duit itu. Lalu, saya memberi syarat dia kena tambah lagi satu muka surat. Dia bersetuju dan berjaya membaca sehingga habis muka surat lagi satu itu. Alhamdulillah. Pelbagai teknik untuk memikat mereka untuk mengaji. Senyum sahaja untuk cuba memahami mereka.

Kesukarelawanan

Selepas malam pertama saya mengunjungi pusat komuniti ini, pelbagai perkara yang muncul dekat fikiran saya terutamanya sepanjang konferens yang saya hadir pada keesokan harinya. Semua kebanyakannya berkaitan hala tuju pusat ini. Sebelum sempat membuat kajian mengenai pusat ini, antara persoalan yang hadir di benak fikiran adalah:

1. Siapakah yang menguruskan pusat ini?
2. Apa carta organisasi pusat ini?
3. Apa program yang dikendalikan di pusat ini sepanjang seminggu, adakah bersasar, berjadual dan tetap, atau berubah-ubah?
4. SOP (mungkin agak keterlaluan, tapi, ia hanya lintasan fikiran)
5. Adakah pendaftaran nama dan butiran bagi setiap ahli komuniti? Jika ada, siapa yang menguruskannya?
6. Buka dan tutup pusat ini, siapa yang menjaganya?
7. Adakah terdapat modul untuk kanak-kanak dan ibu-ibu yang menghadiri ke pusat ini?
8. Bagaimana jika saya ingin merancang atau mangadakan program kecilan dengan kanak-kanak ini?
9. Jika ada NGO yang engaged dengan pusat ini, adalah rekod senarai mereka dan program yang pusat ini telah terlibat?
10. Ada lagi yang lain-lain.

Kemudian, saya mula teringat kursus induksi sukarelawan yang saya pernah hadiri pada bulan Februari yang lepas, dianjurkan oleh Misi 7. Dalam kursus itu, bro Hairul telah menerangkan satu per satu fasa yang diambil oleh persatuan itu apabila mereka pergi ke satu-satu tempat untuk memberikan bantuan secara sistematik dan bertempoh tetapi berterusan. Fasa tersebut termasuklah fasa penilaian. Jadi, jika saya tidak dapat bergerak secara persatuan, mungkin saya boleh membuat pemerhatian secara individual dan mengikut kemampuan. Cuma, saya berharap agar saya dapat membuat usaha yang berterusan kerana usaha saya juga bergantung kepada Fatimah, kerana kami pergi ke pusat ini bersama-sama, dengan saya menumpang keretanya. Tanpa dia, usaha dan perancangan saya mungkin tergendala kerana lokasi pusat itu agak jauh dari rumah dan kebiasaannya kami pergi pada waktu malam, tidak sesuai untuk pergi dan balik menaiki kenderaan awam.

Urban Poverty

Selain itu, saya juga teringatkan subjek yang saya pernah pelajari semasa di universiti dahulu iaitu subjek “Urban Development” Seperti yang saya ada sebut sebelum ini, salah satu punca gelandangan adalah disebabkan “miskin bandar” Saya arasa bersyukur sangat sebab saya pernah ambil subjek itu, dan hari ini akhirnya ia berkait sedikit sebanyak dengan apa yang saya sedang depani ini. Jadi, saya bolehlah rujuk kembali nota yang ada. Sekarang, belum lagi. Kerana notanya disimpan di kampung.

Selain yang termaktub secara teori dalam subjek itu, mungkin saya dapat mencari idea based on apa yang saya pernah pelajari itu, dengan menggunakan keyword yang mungkin berkaitan di Google, InsyaAllah.

---

Alhamdulillah, sekian sahaja perkongsian saya yang bagi saya sangat panjang tapi menyeronokkan.
Terima kasih kerana membaca.

Yang bekongsi,
Siti Mardiana Binti Mohd Saini
30 September - 2 Oktober 2019

No comments:

Post a Comment